Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia itu boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain.
Memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita.
Rasulullah bersabda:
“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” - hadith sahih riwayat Ibn Hibban
Jiran menurut Islam
Allah swt telah berfirman :
“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..”(An-Nisa : 36).
Rasulullah bersabda :
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.(hadith sahih riwayat Bukhari)
Kedudukan jiran itu terbahagi 3 jenis iaitu jiran yang muslim dan memiliki hubungan darah (kekeluargaan), jiran yang muslim yang tidak ada hubungan darah dan jiran yang non-muslim.
Memenuhi Hak Jiran
Berikut ialah diantara hak-hak jiran (muslim & non-muslim) yang wajar dipelihara :
1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran.
2) Menghormati jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat.
3) Memberi layanan baik dan berkasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah (berurusan) dengan mereka.
4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan. Rasulullah bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”(hadith sahih riwayat Bukhari).
5) Menjaga rahsia, maruah dan memelihara kepentingan jiran serta tidak berlaku khianat terhadap mereka.
Kesimpulan
Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.
Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.
Marilah kita bersama-sama berusaha menjadi jiran yang terbaik ♡♡♡
Sekian.
Ringkasan artikel daripada:
http://ustaz.blogspot.com/2006/05/hukum-kejiranan-dalam-islam.html?m=1

No comments:
Post a Comment